BANGI – Kerajaan sedang giatkan usaha supaya semua kawasan desa dan luar bandar yang tidak berpendudukan tinggi akan turut diliputi rangkaian 5G sekurang-kurangnya tahun hadapan.
Menurut Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), inisiatif itu menjadi sebahagian daripada Belanjawan 2025 yang dirancang bagi mencapai sasaran pembangunan luar bandar dengan pendekatan telus.
Ketika ini, pihaknya sedang bekerjasama dengan Kementerian Digital, menerusi pendekatan saluran rangkaian kedua 5G.
“Ini merupakan langkah kita dengan memberi tumpuan kepada kawasan yang berpendudukan rendah dengan harapan dapat memperbaiki liputan internet. Kita minta Kementerian Digital menggunakan pendekatan kawasan yang tidak berpendudukan tinggi untuk diliputi sistem 5G.
“Kerajaan dalam usaha mewujudkan saluran kedua rangkaian 5G agar kawasan di luar bandar dapat liputan terutama bagi keperluan para pelajar dan murid sekolah.
“Kemudahan ini juga penting untuk para usahawan yang memulakan perniagaan dalam talian yang sangat memerlukan liputan komunikasi,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 1,200 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) serta JPKK Orang Asli (JPKKOA) pada Majlis Penutupan Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Luar Bandar MADANI Tahun 2024 di sini hari ini.
Tambah beliau, dengan peruntukan tambahan pada Belanjawan 2025, inisiatif ini dapat dilakukan dengan segera. -MalaysiaGazette