Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berucap ketika merasmikan Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Ideal, Shah Alam, Selangor, hari ini. Foto: NIZAM ZAIN, 10 NOVEMBER 2024

SHAH ALAM – Kerajaan Perpaduan merupakan kerajaan yang paling lama dan kekal memerintah di Putrajaya berbanding pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejak 2018.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, menjelang 24 November ini, Kerajaan Perpaduan akan mencapai ulang tahun kedua pentadbirannya di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tanggal 24 November yang akan datang, menandakan dua tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.

“Kita yakin apabila kita sudah menjangkaui 24 bulan, ini telah membuktikan bahawa Kerajaan Perpaduan adalah kerajaan yang paling lama kekal sejak 2018.

“Tun Mahathir hanya kekal 22 bulan, Tan Sri Muhyiddin 17 bulan dan Datuk Seri Ismail Sabri hanya 13 bulan sahaja.

“Setakat ini kita telah mengharungi 24 bulan, apabila sampai ke tahap ini, kita cukup yakin kestabilan dan kekuatan Kerajaan Perpaduan akan dapat kita kekalkan sehingga pilihan raya umum akan datang selama 5 tahun,” katanya berucap merasmikan Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2024 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan yang dapat bertahan sehingga 24 bulan sehingga ke hari ini membuktikan gabungan politik antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) berjaya mewujudkan kestabilan politik.

“Kestabilan politik dan kekuatan kerajaan pada hari ini tidak boleh disia-siakan. Kita mesti menggembleng tenaga, memberikan tumpuan, berusaha sedaya upaya membina kekuatan ekonomi negara kita.

“Ekonomi Selangor sudah tentunya kuat, Selangor menjadi negeri peneraju ekonomi negara, tetapi Selangor sahaja kuat tak cukup, kita mesti mahu melihat ekonomi Malaysia berkembang pesat dan maju,” katanya.

Katanya, beliau cukup yakin jika kerajaan mampu mengawal inflasi, kos sara hidup dan memberi kesejahteraan kepada rakyat dalam tempoh tiga tahun akan datang, Kerajaan Perpaduan mampu mengekalkan kemenangan dan kuasa di Putrajaya.

“Sekiranya waktu itu kita dapat mencapai indikator ini, kita cukup yakin kerajaan sedia ada boleh mengekalkan kemenangan dan kuasa di Putrajaya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast