ISKANDAR PUTERI – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio puas hati anak buahnya memberikan aksi terbaik menentang The Bos Gaurus 0-5 pada aksi Liga Super di sini malam tadi.
Beliau memuji para pemainnya yang beberapa kali berjaya merobek gawang lawan walaupun mendapat tentangan hebat pasukan lawan.
Pengendali kelahiran Argentina itu mengakui pemain JDT berdepan jadual perlawanan yang padat, namun berjaya menjalankan tanggungjawab dengan baik mengikut percaturan yang diterapkan.
“Saya gembira apabila pemain menunjukkan kesungguhan mereka ketika diturunkan, pada separuh masa pertama kami beraksi dengan baik dan berjaya mencetak empat gol.
“Pada babak kedua, pemain mula memperlahankan tempo permainan, ada masanya pemain mengalami kesukaran untuk mengekalkan intensiti yang sama setelah selesa di hadapan.
“Saya tidak begitu suka apabila pasukan mengendurkan intensiti permainan kerana JDT perlu agresif dan dinamik sepanjang perlawanan, namun ia boleh difahami kerana kami sudah bermain tiga perlawanan dalam tempoh 11 hari,” katanya.
Dalam perlawanan menentang Perak FC di Stadium Sultan Ibrahim di sini, Bergson Da Silva muncul wira pasukan apabila meledak hatrik ke-12 bersama JDT dan dua gol lagi dihasilkan Romel Morales.
Mengulas lanjut, Bidoglio gembira dengan persembahan Morales yang membuktikan sentuhan jaringannya masih berbisa walaupun jarang berada dalam kesebelasan utama.
“Bagi saya, Romel (Morales) bermain dengan baik secara berpasukan hari ini, dua jaringan yang dihasilkan pada perlawanan itu memberi suntikan semangatnya untuk lebih dahagakan jaringan.
“Kita akui bagi posisi penyerang itu, ia mempunyai persaingan yang sengit kerana kita mempunyai ramai penyerang yang berkaliber. Romel juga tidak terkecuali dan dia adalah pemain penting dalam skuad Harimau Selatan,” katanya.
Bidoglio memberitahu, JDT akan mengadakan perlawanan persahabatan pada 16 November ini sebelum perlawanan Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) menentang Shandong Taishan pada 26 November ini.- MalaysiaGazette