Keadaan sungai yang telah dicemari sisa air kotor akibat kecuaian syarikat konsesi pengendali Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang, Melaka.

MELAKA – Syarikat konsesi pengendali Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di sini akan ‘diheret’ ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) selepas dipercayai menyebabkan pencemaran air kotor daripada sisa sampah ke sungai.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana, Datuk Rais Yasin berkata, tindakan tegas itu diambil kerana sebelum ini syarikat terbabit sudah beberapa kali melakukan kesalahan yang sama dan hanya membayar jumlah kompaun dikenakan.

“Tapi semalam saya dan semua agensi terlibat melihatnya sendiri memang air hitam itu mengalir akibat hujan dan kotoran itu masuk ke dalam sungai kecil yang menuju ke Sungai Lereh.

“Saya melaporkannya kepada KPKT supaya tindakan segera diambil kerana di Melaka kita hanya ada satu sahaja tapak pelupusan sampah dan kalau tidak dijaga dengan betul, kesannya besar kepada rakyat Melaka,” katanya.

Rais menunjukkan keadaan sungai yang telah dicemari sisa air kotor akibat kecuaian syarikat konsesi pengendali Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang, Melaka.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Seminar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Malaysia Bagi Pengukuhan dan Peningkatan Hasil PBT Siri 2.0 di Banda Hilir di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, sebelum ini syarikat berkenaan telah dikenakan tindakan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka dan Badan Kawal Selia Air (BKSA).

“Mereka banyak kali telah didenda dan pihak syarikat mampu membayarnya tapi kali ini kesalahan itu tidak boleh setakat menjelaskan denda sahaja kerana saya tidak mahu pencemaran ini berlaku di seperti tempat-tempat lain.

“Kita bimbang pencemaran ini akan menyebabkan musibah besar kepada ribuan penduduk dan pesawah di kawasan sekitar yang sudah saya utarakan sejak tahun lepas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast