ROM – Pesawat Hainan Airlines yang terbang dari Lapangan Terbang Fiumicino dekat sini menuju ke Shenzhen, China, terpaksa berpatah balik selepas langgar dengan seekor burung hingga menyebabkan enjin terbakar.
Insiden itu berlaku sejurus pesawat berkenaan berlepas.
Menurut lapangan terbang, Boeing 787-9 Dreamliner, yang dikendalikan oleh Hainan Airlines, berlepas dari Rom pada 9:55 pagi, waktu tempatan, 10 November dengan membawa 249 penumpang dan 16 anak kapal.
Insiden itu berlaku dalam beberapa minit selepas berlepas apabila enjin kanan pesawat dilaporkan berlanggar dengan seekor burung mengakibatkan nyalaan api.
Susulan itu, anak kapal mengisytiharkan kecemasan dan dengan pantas menyelaraskan perjalanan pulang ke Lapangan Terbang Fiumicino.
Bagi memudahkan pendaratan selamat, mereka membuang bahan api ke laut sebelum turun.
Rakaman video yang dikongsi oleh media tempatan merakamkan api di sebelah kanan pesawat.
Selepas selamat kembali, semua penumpang dan anak kapal telah dipindahkan tanpa sebarang insiden.
Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa lapangan terbang memuji tindak balas segera kru Hainan Airlines dan kawalan darat lapangan terbang, yang bekerjasama untuk memastikan keselamatan semua orang di dalam pesawat.
Operasi di Lapangan Terbang Fiumicino tidak terjejas, tanpa kelewatan pada trafik udara, berkat pengendalian insiden yang cekap. – Agensi