Kampus utama MEDIU terletak di Desa Petaling, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Al-Madinah International University (MEDIU) terus mencipta nama dalam dunia pendidikan tinggi negara dengan pencapaian yang membanggakan dalam QS Asia University Rankings 2025.

Menerusi Penunjuk Pelajar Antarabangsa, universiti berkenaan telah berjaya menjadi destinasi menarik untuk pelajar antarabangsa dengan menduduki tempat kedua antara 10 Universiti Terbaik di Asia.

Kejayaan itu melibatkan penunjuk bagi Pelajar Antarabangsa dan Fakulti Antarabangsa.

Selain MEDIU, Universiti Segi menduduki tempat kelima, Universiti Teknologi dan Inovasi Asia Pasifik (keenam), Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing (kelapan), dan Universiti Sains dan Teknologi Malaysia di kedudukan kesembilan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MEDIU, Datuk Dr. Saeed Niwifea Alhazmi berkata, pengiktirafan itu menjadi bukti pengaruh universiti tersebut yang semakin berkembang dan terkenal di peta pendidikan dunia.

“Kedudukan ini mencerminkan dedikasi kami yang teguh terhadap pendidikan dalam menyediakan dan memberikan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk pelajar peringkat pengajian tinggi.

“Melalui budaya inovasi berterusan dalam pengajaran, penyelidikan dan kerjasama, kami komited sebagai sebuah universiti antarabangsa terkemuka yang menggalakkan pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai aspek untuk berkhidmat kepada manusia dan untuk menggalakkan kemajuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

MEDIU yang ditubuhkan sejak 2007 merupakan sebagai sebuah universiti antarabangsa di Shah Alam sebelum berpindah ke Kampus Utama di Desa Petaling pada 2018.

IPT swasta itu kini mempunyai lebih 3,000 orang pelajar yang sedang mengikuti pengajian di kampus secara konvesional dan secara jarak jauh atau atas talian terdiri 96 buah negara dengan penyediaan lebih 94 kursus akademik yang telah memperolehi akradetasi dari Agensi Kelayakan Malaysia.

IPT yang ditubuhkan hasil kerjasama Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi adalah sebagai universiti berkonsep wakaf yang ketika itu dikenali peneraju universiti maya atau dalam talian sebelum memulakan pengajian dalam kampus pada 2010. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast