JOHOR BAHRU – Pengendali Perak FC, Yusri Che Lah akur dengan kekalahan 0-5 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam tadi.
Jelasnya, keputusan itu seperti sudah dijangka setelah terdapat jurang kualiti antara kedua-dua pasukan yang membawa kepada kekalahan besar tersebut.
“Dalam perlawanan menentang pasukan seperti JDT, pemain tidak seharusnya memberi ruang kepada lawan untuk bermaharajalela menguasai permainan khususnya di bahagian tengah.
“Setelah dibolosi empat gol pada separuh masa pertama, saya ingatkan pemain agar kekalkan disiplin di bahagian pertahanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.
Beliau berkata, anak buahnya dilihat berjaya melakukannya walaupun JDT berjaya menambah satu lagi jaringan selepas itu.
“Ketiadaan Luciano (Guaycochea) yang mengalami kecederaan menjejaskan perancangan kami setelah bahagian tengah tidak berfungsi dengan baik, ini memberi kesan kepada kita.
“Malah kita juga kehilangan Luka (Milunovic) yang hanya mampu beraksi 30 minit sahaja sebelum dikeluarkan, saya terpaksa mengeluarkan Sunday (Afalobi) yang sudah mengutip kad dan enggan mengambil risiko hingga menyebabkan kami perlu bermain secara bertahan,” katanya.
Melihat dari sudut positif, Yusri gembira dengan aksi meyakinkan yang ditunjukkan pemain muda yang berani untuk bersaing dengan pemain Harimau Selatan sehingga mampu menyekat penyandang juara itu menambah lebih banyak jaringan pada babak kedua.
Ditanya mengenai undian Piala Malaysia, Yusri berkata, tuah memihak kepada The Bos Gaurus apabila tidak bertemu dengan skuad Harimau Selatan pada peringkat awal selain mampu melangkah dengan lebih jauh.
“Harap undian nanti kami tidak berdepan JDT lagi. Piala Malaysia adalah trofi berprestij dan semua pasukan mahu memberikan yang terbaik dalam merebut trofi tersebut.
“Walaupun Perak dijangka menempuh lalu sukar dan berliku, kita akan memberikan aksi terbaik dan tentangan hebat dengan mana-mana pasukan dan enggan menyerah kalah begitu sahaja,” ujarnya.- MalaysiaGazette