MELAKA – Seorang pesara tentera maut selepas motosikal ditunggangi terbabas di Jalan Air Hitam, Tanjung Minyak di sini dipercayai akibat serangan jantung malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, mangsa Jaludin Ahmad, 58, yang menunggang motosikal jenis Honda meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Bertam Hulu menuju ke Tanjung Minyak.
“Sebaik tiba di lokasi mangsa dipercayai terkena serangan jantung dan terbabas melanggar batu pembahagi jalan menyebabkannya cedera parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di situ.
“Mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette