KUALA LUMPUR – Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) menggesa kerajaan mengkaji semula harga minimum padi susulan kenaikan harga benih, minyak diesel, kos pembajakan dan penuaian.
Pengerusinya, Abdul Rashid Yob berkata, harga minimum padi perlu dinaikkan dari RM1,400 kepada RM1,800 bagi mengimbangi kenaikan kos input yang semakin meningkat ketika ini.
“Kos bersawah sekarang mencecah RM5,000 per hektar. Jika hasil yang diterima pesawah ialah enam metrik tan per hektar, pesawah akan mendapat RM3,400 keuntungan untuk enam bulan penghasilan padi bermakna pendapatan pesawah adalah RM566 sebulan per hektar.
“Kenaikan harga minimum terjamin padi kepada RM1,800 membolehkan pesawah mendapat RM5,800 keuntungan atau RM966 sebulan per hektar, paling minimum,” katanya pada sidang media, di luar pekarangan bangunan Parlimen hari ini.
Terdahulu Abdul Rashid bersama Jawatankuasa PeSawah menyerahkan memorandum permohonan kenaikan harga padi kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin di Parlimen.
Abdul Rashid juga berkata, ketika ini, purata saiz sawah yang dikerjakan petani di Malaysia sebanyak 1.2 hektar menjadikan pendapatan seorang pesawah mencapai RM1,159 hingga RM2,898 sebulan.
“Ini agak bersesuaian dengan gaji minimum pekerja di Malaysia iaitu RM1,700 sebulan,” katanya.
Menurutnya, kenaikan itu seiring dengan harga beras semasa iaitu RM3.70 sekilogram berbanding harga beras tempatan sebanyak RM2.60 sekilogram.
“Harga beras tidak pernah dinaikkan selama 16 tahun sedangkan harga barang-barang lain telah meningkat secara mendadak. Ini memberi tekanan kewangan yang berat kepada pesawah.
“Sekiranya harga padi dan beras tidak dinaikkan, pesawah terpaksa menanggung kos yang semakin tinggi yang akhirnya membebankan kami dalam membantu kerajaan memastikan keterjaminan makanan rakyat,” katanya.
Selain itu, PeSawah juga memohon agar subsidi benih padi dikreditkan terus ke akaun pesawah sebanyak RM2.60 satu beg atau seberat 20 kilogram.
“Ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti benih yang dihasilkan oleh loji-loji benih sedia ada supaya mereka bersaing untuk menghasilkan benih terbaik.
“Petani perlu dibenarkan untuk menghasilkan benih sendiri mengikut keperluan sawah masing-masing,” katanya.
Selain itu, katanya, kerajaan tidak perlu membuka skim baja rintis kepada syarikat-syarikat swasta kerana dikhuatiri akan berlaku ketirisan dan kelewatan dalam pengedaran baja seperti yang berlaku di Sungai Leman, Sekinchan, Selangor.
“Mengambil contoh projek baja rintis di Sungai Leman, pembekal swasta terbukti tidak mampu untuk membekalkan baja mengikut waktu dan keperluan pesawah.
“Pesawah di kawasan tersebut telah melepasi jadual rice-check pertama tetapi baja subsidi dari projek baja rintis masih belum ditabur oleh syarikat.
“Kebanyakan mereka telah menggunakan baja lain yang dibeli sendiri atau baki baja subsidi musim lepas untuk menampung keperluan baja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















