Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi jaminan akan membuat keputusan berhubung pertikaian mengenai kos pembangunan dan pelaksanaan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) membabitkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Datuk Dr Ir. Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam).

Ia berikutan Chong Szemin (PH-Kampar) telah membangkitkan peraturan mesyuarat dengan mengatakan Ka Siong mengelirukan Dewan Rakyat mengenai kos terbabit.

Dalam penjelasannya, Johari memberitahu, Ka Siong telah menulis secara rasmi kepadanya untuk meminta Rafizi menarik balik kenyataan yang mendakwa Presiden MCA itu telah berbohong.

“Sementara (Ahli Parlimen) Kampar mempunyai hak untuk bangkitkan peraturan mesyuarat, saya juga mempunyai hak untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan dan hak saya itu mengatasi hak Kampar.

“Saya hendak maklumkan (Ahli Parlimen) Ayer Hitam telah pun menulis kepada saya. Dan saya sedang buat investigation. Saya juga telah menulis kepada menteri.

“Berikan masa pada saya sedikit, dua tiga hari untuk saya menilai siapakah yang betul, siapa yang tidak,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Pada 6 November lalu, Rafizi ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat menafikan dakwaan Ka Siong bahawa kos pembangunan PADU berjumlah RM85 juta.

Sebaliknya, Rafizi berkata, perbelanjaan sehingga September lalu menunjukkan kos pembangunan dan pelaksanaan PADU hanya RM31 juta dengan beberapa pecahan.

Ka Siong bagaimanapun mendakwa, data dan laporan yang diperolehnya berhubung kos itu tidak hanya melalui media rasmi kerajaan malahan portal rasmi PKR, Suara Keadilan.

Sementara itu, Johari berkata, keputusan mengenai perkara itu hanya akan dibuat selepas mendapat jawapan Rafizi.

“Soal Kampar ada maklumat atau sebagainya, itu cerita lain kerana Ayer Hitam telah pun menulis kepada saya, menjadi tanggungjawab menteri untuk menjawab kepada saya.

“Dari situ, saya akan buat pertimbangan dan keputusan. Untuk itu Kampar bersabar dan saya akan maklumkan kemudian,” katanya.

Sementara itu, pada sidang media, Szemin berkata, beliau akan mengemukakan usulnya terhadap Ka Siong secara bertulis dan menggesa Johari untuk turut menyemak perkara itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast