KUALA LUMPUR- Pelajar-pelajar Sarawak yang menuntut di institusi pengajian tinggi di seluruh negara akan menerima wang saku RM1,200 daripada kerajaan negeri bermula tahun depan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg berkata, bantuan kewangan istimewa itu akan diperkenalkan di bawah belanjawan negeri 2025.
Tambah beliau, insentif dengan peruntukan RM30 juta itu akan memberi manfaat kepada 25,000 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dengan pendapatan isi rumah RM,1500 atau ke bawah sebulan.
“Wang saku itu boleh digunakan untuk membeli makanan dan barang keperluan bagi meringankan beban kos sara hidup mereka,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Selain itu, Abang Johari turut mengumumkan insentif baucer buku dan komputer riba percuma yang diperkenalkan Ogos lepas akan diteruskan tahun depan.
Bantuan tersebut diberikan kepada pelajar-pelajar Sarawak yang terdiri daripada keluarga dengan pendapatan isi rumah sebanyak RM1,500 atau ke bawah sebulan.
Jelas ADUN Satok itu, setiap pelajar IPT akan menerima baucer buku bernilai RM500 dengan peruntukan berjumlah RM2 juta.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut menyediakan RM30.5 juta untuk pemberian komputer riba yang akan dimanfaatkan 10,166 pelajar yang dilayak di IPTA dan IPTS.
“Dengan bantuan ini, saya boleh katakan, semua orang mempunyai wang untuk membeli makanan,” katanya lagi. -MalaysiaGazette