KUALA LUMPUR – Kediaman Allahyarham Tun Daim Zainuddin di Taman Melawati di sini lengang tanpa kelihatan kelibat pelawat mahupun sesiapa yang datang untuk memberi penghormatan terakhir.
Berdasarkan pemerhatian MalaysiaGazette, pintu pagar masuk ke kediaman tersebut berkunci rapat dan berantai.
Seorang lelaki yang mengaku pekerja di kediaman itu dan enggan dikenali memaklumkan, jenazah tidak dibawa ke sini sebaliknya, terus ke sebuah lagi rumah Allahyarham di Bukit Tunku.
Sebelum itu, media difahamkan jenazah Allahyarham dimaklumkan dibawa ke kediamannya di sini dari Hospital Assunta, di Petaling Jaya.
Bagaimanapun, menerusi maklumat terbaharu, jenazah dibawa ke Bukit Tunku bagi membolehkan ahli keluarga dan sahabat handai allahyarham memberikan penghormatan terakhir.
Terdahulu, Allahyarham Daim yang merupakan bekas Menteri Kewangan itu dilapor meninggal dunia pagi tadi pada usia 86 tahun.
Perkara itu disahkan peguamnya, Gurdial Singh Nijar.
Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri dan lima anak dimasukkan ke Hospital Assunta, kerana mengalami strok.
Jenazah allahyarham akan disolatkan di Masjid Wilayah Kuala Lumpur selepas solat Asar dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Untuk rekod, allahyarham pernah dilantik menjadi Menteri Kewangan pada 1984 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan berkhidmat sehingga 1991.
Pada 1999, allahyarham telah dilantik semula juga oleh Dr Mahathir dan melepaskan jawatan tersebut pada 2001.
Allahyarham dan isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid sedang menghadapi kes rasuah dan pengubahan wang haram selain didakwa di mahkamah atas kegagalan mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengisytiharkan aset meliputi 38 syarikat, 25 bidang tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah dan dua akaun dana pelaburan. -MalaysiaGazette