Jejambat RTS Link sepanjang Jalan Tun Abdul Razak, Johor.

KUALA LUMPUR- Pemasangan sistem rel bagi projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang menghubungkan Johor Bahru-Singapura akan dimulakan akhir tahun ini.

MRT Corp dalam kenyataan hari ini berkata, Infrastructure Companies (InfraCos) Malaysia dan Singapura akan memberi kebenaran kepada RTS Operation Pte Ltd (RTSO) untuk mengakses struktur awal RTS Link secara agresif menjelang hujung tahun ini.

Ini akan membolehkan RTSO untuk memulakan kerja-kerja pemasangan sistem rel pada RTS Link.

Untuk rekod, InfraCos yang masing-masing dilantik kerajaan Malaysia dan Singapura, bertanggung jawab untuk mereka, membangunkan dan menyelenggara infrastruktur sivil RTS Link.

RTSO pula adalah syarikat usahasama antara Prasarana RTS Sdn. Bhd. dan SMRT Pte Ltd untuk mengoperasikan perkhidmatan RTS Link.

“RTSO sudah bersedia untuk memulakan pemasangan sistem rel RTS Link bermula akhir 2024. Kerja-kerja itu melibatkan peletakan landasan bagi RTS Link di samping memasang sistem signal, komunikasi, kawalan pemantauan bersepadu dan bekalan tenaga,” kata MRT Corp.

Tambah kenyataan itu lagi, prasarana keretapi bagi projek RTS Link kini sudah menghubungkan Depot Wadi Hana di Johor dengan Woodlands North di Singapura.

Selain itu, kedua-dua InfraCos juga telah selesai memasang Jejambat Bercirikan Estetik (Viaduct Aestethic Feature), iaitu sebuah struktur ikonik yang terletak berhampiran laluan menghubungkan jejambat marin.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast