KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak tujuh tahun cedera parah selepas digilis sebuah pacuan empat roda yang dipandu wanita warga asing di kawasan perumahan di Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 6.52 petang.
“Hasil siasatan mendapati, insiden itu berlaku jam 6.15 petang ketika kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu wanita itu dari Flat Anggerik 2 menuju kedai berhampiran.
“Mangsa merupakan murid Tahun Satu ketika itu baru turun dari van sekolah dan melalui belakang van tersebut untuk melintas namun dilanggar kenderaan wanita berusia 46 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, akibat kejadian itu mangsa mengalami patah kaki kiri sebelum dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Semakan lanjut, pemandu wanita warga asing itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kenderaannya telah ditahan di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Susulan itu, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette