KUALA LUMPUR- Keadaan banjir yang semakin buruk di Alor Setar menyebabkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan keluarga terpaksa berpindah ke tempat yang lebih selamat.
Berdasarkan video-video tular di media sosial, Sanusi dan keluarga dilihat mengharung air separas lutut selepas kediaman rasminya di Sri Mentaloon ditenggelami air, hari ini.
Pegawai Khas Media Menteri Besar, Helmi Khalid berkata, paras air di rumah berkenaan semakin meningkat mulai pagi tadi.
Setakat petang tadi, paras air di Seri Mentaloon sudah dianggarkan mencecah kira-kira satu meter di kawasan tertentu.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah APM Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain lima sungai di Kedah sudah melepasi tahap bahaya.
Justeru, terdapat kemungkinan pertambahan mangsa di bahagian Kota Setar, susulan penurunan air dari kawasan hilir.
Bagaimanapun katanya, pihak berkuasa termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia, dan Angkatan Pertahanan Awam sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan.- MalaysiaGazette