ISKANDAR PUTERI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu mengambil tindakan tegas terhadap kenderaan asing yang mengisi petrol bersubsidi RON95 di Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, isu kenderaan berpendaftaran asing yang mengisi petrol RON95 sering dibangkitkan rakyat Johor.
Beliau berkata, tindakan yang sama juga perlu dilakukan dalam menangani isu ketirisan subsidi paket minyak masak yang sepatutnya dimanfaatkan golongan B40 namun telah dieksploitasi warga asing.
“Ia melibatkan pelanggaran peraturan yang merugikan rakyat tempatan dan mengakibatkan penyalahgunaan subsidi.
“Oleh itu, kerajaan negeri menyeru KPDN untuk mengambil tindakan yang lebih tegas terhadap mereka yang mengambil kesempatan kerana sudah tentu ia memberi kesan kepada negara.
“Kerajaan negeri menyokong usaha kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan undang-undang bagi memastikan subsidi yang diberikan kepada Bangsa Johor tidak terus dieksploitasi oleh warga asing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.
Pada 25 November lalu, kerajaan dilaporkan tidak berhasrat membenarkan kenderaan milik bukan warganegara untuk menikmati kemudahan subsidi bahan api RON95.
Tindakan itu, menurut Kementerian Ekonomi, selaras dengan matlamat kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan fiskal negara seperti digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Hingga kini, harga RON95 Malaysia ialah RM2.05 berbanding negara tetangga seperti Thailand RM5.85, Indonesia RM3.38, Singapura RM9.02 dan Arab Saudi RM2.66. Harga yang rendah menyebabkan kerajaan menanggung subsidi RON95 mencecah RM20 bilion pada 2023.
Petrol di Malaysia adalah yang paling murah berbanding Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina, malah Arab Saudi. Di Arab Saudi, harga seliter di sana RM2.65 berbanding Malaysia RM2.05.
Bagi minyak masak paket pula, pada Januari lalu, media melaporkan tiada sekatan atau larangan kepada warga asing untuk membeli minyak masak paket di kedai runcit, sebaliknya mereka turut tertakluk kepada had pembelian sama seperti rakyat Malaysia.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, bagaimanapun kaedah jangka panjang sedang dikaji bagi memastikan subsidi minyak peket dinikmati rakyat negara ini sahaja. – MalaysiaGazette

















KPDN tidor…mcm biasa Menteri akan kata…kami akan kaji…kaji apa lagi? Menteri pun tido, makan gaji buta…oleh kerana menteri tido…kaedah yg paling sesuai ialah hapuskan subsidi utk rakyat…Menteri yg tido..rakyat yg jd mangsa..terbaik lah