KUANTAN – Pihak Istana Pahang tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang telah dikemukakan oleh Datuk Seri Mohammad Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan afidavit Datuk Mohd Nizar Najib.
Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Datuk Seri Saiful Edris Zainuddin berkata, langkah ini bagi mengelakkan subjudis ke atas keputusan kes rayuan membabitkan bekas perdana menteri itu yang bakal didengar 6 Januari tahun hadapan.
“Saya selaku Penasihat Undang-undang Negeri Pahang telah mengadap Ke bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan menyembah maklum berhubung dengan perkara titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang telah dikemukakan oleh Datuk Seri Mohammad Najib Tun Haji Abdul Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Afidavit Datuk Mohd Nizar Datuk Seri Mohammad Najib.
“Di atas nasihat Menteri Besar Pahang dan saya bagi menghormati prosiding mahkamah, maka pihak Istana Pahang tidak akan membuat apa-apa kenyataan tentang perkara ini kerana ia boleh mengakibatkan subjudis ke atas kes rayuan yang telah dibawa di hadapan Mahkamah Rayuan Malaysia di dalam Rayuan Sivil No. W-01(M)-456-07/2024 yang telah ditetapkan untuk pendengaran pada 6 Januari 2025, di mana keputusan berkenaannya masih belum dibuat oleh mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nizar, anak sulung Najib sebelum ini mengesahkan kepada MalaysiaGazette bahawa titah adendum terbabit telah dimaklumkan sendiri oleh Al-Sultan Abdullah kepadanya baru -baru ini.
Beliau telah memfailkan afidavit di mahkamah mengenai titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan ayahnya menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Ketika ini Najib sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Istana tak pernah nafi kewujudan titah adendum, kata anak Najib