Ozgur Guleryuz (kanan) bersama Zulhelmy Ithnain pada majlis Steel Cutting menandakan bermulamya pembinaan LMS kumpulan kedua Tentera Laut Diraja Malaysia. Foto: STM Turkiye

KUALA LUMPUR – Syarikat kejuruteraan dan teknologi pertahanan Turkiye, STM Defence, telah memulakan pembinaan tiga buah Kapal Misi Pesisir (LMS) kumpulan kedua untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut kenyataan STM, pembinaan kapal yang akan dilengkapi dengan sistem senjata, sensor, serta sistem kawalan canggih itu dijangka selesai dalam tempoh tiga setengah tahun.

“Projek ini melibatkan pembinaan tiga korvet berdasarkan reka bentuk Kelas ADA yang telah terbukti berkesan di perairan antarabangsa,” katanya.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sempena majlis penyerahan Surat Penerimaan (LoA) untuk projek LMS kumpulan kedua TLDM dan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan pemerolehan produk pertahanan antara Türkiye dan Malaysia yang diadakan di Ankara pada, hari ini

Majlis tersebut dihadiri Duta Besar Malaysia ke Turkiye, Sazali Mustafa Kamal; Panglima TLDM, Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Dr. Mohd Bakhari Ismail dan Pengurus Besar STM, Ozgur Guleryuz

Majlis ‘Steel Cutting’ yang menandakan bermulamya pembinaan LMS kumpulan kedua TLDM diadakan di Istanbul Shipyard.

Menurut STM, pihaknya bertanggungjawab terhadap fasa reka bentuk, pengurusan projek, pemerolehan bahan/sistem, integrasi, pengujian, serta dokumentasi berkaitan projek ini.

Jelasnya, ketiga-tiga kapal itu akan dibina di Türkiye dan direka khas untuk memenuhi keperluan TLDM.

Katanya, reka bentuk LMS itu adalah fleksibel dan mematuhi piawaian moden, serta mampu melaksanakan pelbagai misi seperti peetempuran di permukaan (ASUW), pertempuran di udara (AAW), pertempuran asimetri (ASYW) dan peperangan elektronik (EW). -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast