Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melakukan gimik menyusun barang ke dalam kotak bantuan pada Majlis Pelepasan Konvoi TTCM yang akan menjalankan Misi Kemanusiaan Pasca Banjir 2024/2025 di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 17 DISEMBER 2024

PUTRAJAYA – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan ketiga-tiga bekas menteri berbohong mengenai keputusan menarik balik berhubung Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Jelasnya lagi, beliau merasa malu dengan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang disifatkan beliau tidak benar.

“Sepatutnya mereka juga kena panggil (siasat), entah macam mana minit Kabinet dibocorkan dan Kabinet menunjukkan betul bahawa dakwaan yang dibuat tiga orang menteri itu tidak benar dan bohong.

“Saya rasa malu kerana mereka duduk di bawah pentadbiran saya dahulu tapi membohong,” katanya kepada media selepas flag off Misi Kemanusiaan Pasca Banjir ke Kedah, dan Perlis di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) hari ini.

Dr Mahathir mengulas menyatakan Wan Azizah, Mohamad dan Loke dalam dalam satu kenyataan bersama mendakwa beliau tidak merujuk Jemaah Menteri terlebih dahulu berhubung keputusan untuk tidak meneruskan semakan dan tafsiran berhubung isu Pulau Batu Puteh dibuat pada 21 Mei 2018.

Jelas ketiga-tiga mereka, perkara itu turut dimaklumkan kepada pihak Singapura pada pagi 23 Mei 2018 sebelum Mesyuarat Kabinet pertama diadakan.

Khamis lalu, Dr Mahathir mempersoalkan kenyataan tiga bekas menteri Kabinet sewaktu pentadbiran beliau berkaitan isu RCI ketiga-tiga kawasan berkenaan.

Dalam kenyataan melalui peguamnya, Rafique Rashid, bekas Perdana Menteri itu berasa ‘hairan’ dengan alasan diberikan tiga bekas menteri terbabit yang mendakwa tidak dapat memberikan pandangan dalam mesyuarat Kabinet berhubung isu berkenaan kerana ia cuma makluman.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, beliau ketika itu membawa pendapat tersebut untuk diputuskan jemaah Kabinet dan bukan satu keputusan.

“Apa yang saya buat itu ikut peraturan tetapi masih kata bukan Kabinet yang buat keputusan tapi saya, saya kalau nak buat keputusan, saya tidak akan cakap pendapat tapi saya akan kata kami (Kabinet) sudah putuskan tidak teruskan dengan kes ini.

“Boleh beritahu kerajaan Singapura tetapi kita beritahu kepada Singapura kerana mesyuarat ICJ akan diadakan tidak lama lagi (ketika itu), jadi kalau kita buat perjanjian dengan Singapura, kita boleh tukar perjanjian secara sebelah pihak, jadi kita kena dapatkan persetujuan satu pihak lagi.

“Sebab itu kita kena beritahu (Singapura), kalau kita tidak beritahu kita nak teruskan Singapura akan tolak juga, ia akan kembali kepada keadaan sebelum,” katanya lagi.

Laporan RCI yang telah dinyahklasifikasi dikeluarkan pada Khamis mendedahkan, kerajaan di bawah pentadbiran Dr Mahathir secara sepihak telah membuat keputusan menarik balik permohonan bagi menyemak semula dan mentafsir keputusan ICJ pada 2008 yang menganugerah Batu Puteh kepada Singapura.

Menurut suruhanjaya itu, siasatan jenayah boleh dimulakan ke atas Dr Mahathir mengikut Seksyen 415(b) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 417 dan Seksyen 418 kanun yang sama.

ICJ pada 23 Mei 2008 memutuskan Singapura punya hak terhadap Batu Puteh, manakala Batuan Tengah milik Malaysia dan hak milik Tubir Selatan akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast