KUALA LUMPUR – Masalah teknikal di lorong sistem pembayaran elektronik menjadi punca berlaku kesesakan luar biasa di Plaza Tol Lebuh Raya Maju Expressway (MEX) Putrajaya awal pagi tadi.
MEX menerusi hantaran di media sosialnya menasihati pengguna yang melalui plaza tol berkenaan agar menukar mod daripada Pengesanan Frekuensi Radio (RFID) kepada pembayaran menggunakan kad Touch n Go (TnG).
Bagaimanapun, aliran trafik kembali pulih dan lancar semula sekitar pukul 7.30 pagi.
“Lorong RFID S07 dan N07 mengalami masalah teknikal. Lain-lain Lorong berfungsi seperti biasa di Plaza Tol (MEX) Putrajaya.
“Makluman kepada semua pengguna MEX, pengguna RFID diminta menukar mod pembayaran melalui TnG.” kata hantaran itu. – MalaysiaGazette
















