KUALA LUMPUR – Sebanyak 22 konsainan produk sarang burung walet melibatkan sejumlah 1.769 tan metrik bernilai RM7,233,302 (7.23 juta) ke China terpaksa ditangguhkan sementara atas permohonan dari negara tersebut.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berkata, China mengambil tindakan ini berikutan laporan wabak Newcastle Disease (ND) yang dikesan pada ayam dan itik di Malaysia dalam tempoh Mac hingga Jun 2024 sebagaimana yang telah dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Dunia (WOAH).
Penangguhkan eksport ini melibatkan sarang burung walet mentah bersih dan belum bersih dari Malaysia bermula 20 Disember 2024 selaras dengan Protokol Eksport Sarang Burung dari Malaysia ke negara itu.
Bagaimanapun kata DVS, sehingga kini tiada pengesanan penyakit ND pada premis dan produk sarang burung walet yang dipantau oleh DVS.
Katanya, DVS telah mengadakan sesi perbincangan dengan pengeluar dan pengeksport sarang burung walet Malaysia bagi memberikan maklumat terkini dan membincangkan langkah penyelesaian kepada penangguhan sementara pengeksportan sarang burung walet ke China.
“DVS telah menghantar laporan yang terperinci berkenaan status wabak termasuk tindakan pengurusan wabak ND di Malaysia kepada General Administration of Customs of the People’s Republic of China (GACC) bagi menangani isu ini serta memberi jaminan untuk memastikan produk sarang burung walet yang dihantar bebas dari penyakit ND.
“Sebagai tindakan susulan kepada isu ini, DVS dalam tindakan mengemas kini protokol untuk dikemukakan kepada GACC bagi pengeksportan sarang burung walet dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan
“DVS kekal komited untuk memastikan pematuhan terhadap keperluan eksport antarabangsa serta melindungi kepentingan pengeksport dan pengeluar tempatan,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















