PUTRAJAYA – Syarikat milik penuh bumiputera, VFive Group akan melebarkan sayap pada 2025 menerusi tiga sektor baharu iaitu pembangunan hartanah, konsesi dan tenaga boleh diperbaharui.
Pengasas dan Pengerusi Yayasan VFive, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, langkah itu seiring dengan cabaran dunia perniagaan pada masa kini yang memerlukan syarikat mempelbagaikan cabang perniagaan dengan memperluaskan perniagaan dalam industri-industri lain.
“Bukan itu sahaja, kita juga optimis VFive mempunyai masa depan baik kerana ekonomi serta geoplitik di Malaysia kini dilihat stabil namun kita tidak boleh terlalu kebergantungan sepenuhnya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Malam Tahunan Vfive 2024 di sini malam tadi.
Tambah Mohd Syafiq, pihaknya juga sudah merancang untuk pembangunan projek hartanah pada tahun hadapan berkonsepkan sub-urban di beberapa negeri iaitu di Putrajaya, Johor dan Kelantan.
Selain itu, VFive Group juga menyediakan peruntukan kekal sebanyak RM30 juta bagi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) demi membantu golongan yang memerlukan pada tahun 2025.
Mohd Syafiq berkata, ia merupakan program yang dirancang menerusi Yayasan VFive bertumpu pada pembangunan modal insan komuniti dengan sasarannya golongan kurang berkemampuan.
“Menerusi Yayasan VFive adalah untuk menyumbang dan berkongsi rezeki dengan orang yang memerlukan, jadi benda ini fokus utama adalah kita gandakan lagi pada 2025 dan sudah dimulakan dengan program banjir pada awal Disember lalu dan akan diteruskan CSR ke bulan Ramadan bersama anak-anak tahfiz.
“VFive mengekalkan peruntukan itu dengan menggandakan program lagi seperti bantuan pergi umrah, Hari Raya Korban, program pendidikan serta bakul makanan,” katanya. – MalaysiaGazette