BALING – Perjalanan seorang operator kilang ke tempat kerjanya di Kulim, dekat sini, berakhir dengan tragedi apabila kereta dipandunya melanggar belakang sebuah treler yang diletakkan di bahu jalan di Lebuhraya Gerik-Baling-Kulim berhampiran Kampung Binjul, di sini, hari ini.
Kejadian jam 7.30 pagi itu, mengakibatkan Muhammad Shafizuddin Mohd Shafie, 24, maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada kepala.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, hasil siasatan mendapati mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Sik dekat sini menuju ke kilang di Kulim dengan memandu kereta jenis Perodua Myvi.
“Bagaimanapun, apabila sampai di tempat kejadian, kereta dipandu mangsa dikatakan telah hilang kawalan dan terbabas sebelum terlanggar belakang sebuah treler yang dipakir di bahu jalan arah sama.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu treler iaitu lelaki berusia 52 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















