Kumar menunjukkan serbuk dadah yang dijual dalam bentuk peket di kelab malam, selepas sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Polis menahan pasangan kekasih dan merampas lebih 14 kilogram (kg) dadah melibatkan nilai lebih RM2.4 juta dalam dua serbuan di daerah ini pada 28 Disember lalu.

Serbuan dalam operasi khas itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Iskandar Puteri di tempat letak kereta Mutiara Rini, Iskandar Puteri dan Taman Tun Aminah di sini pukul 12.30 tengah malam hingga 4.30 pagi.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan pertama dilakukan di tempat letak kereta terbabit dan menahan seorang lelaki, 33, serta seorang wanita, 31, semasa berada dalam kereta jenis Toyota Vios hitam.

“Mereka ditahan dipercayai ketika mahu mengedar dadah tersebut untuk pasaran tempatan. Kita merampas dadah dalam bonet kereta berkenaan.

“Kereta tersebut dijadikan stor atau tempat penyimpanan dadah. Ini merupakan modus operandi mereka selain menggunakan kereta jenis biasa bagi mengelak disyaki dan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil soal siasat pasangan berkenaan, polis melakukan serbuan kedua di sebuah rumah di taman berkenaan.

Dalam serbuan itu polis merampas dadah antaranya 14,401 gram(g) serbuk ekstasi bernilai RM2,405,102; 24.58g ketamin (RM4,916); 2.75g syabu (RM302) dan 19.48g pil ekstasi (RM2,550).

Kumar memberitahu, dadah berkenaan bernilai RM2.412 juta dan sekiranya terlepas ke pasaran boleh digunakan seramai 72,195 penagih.

Turut dirampas pelbagai jenis barang kemas dengan nilai sitaan (RM15,573) dan mata wang Bath Thailand 2,170 manakala jumlah keseluruhan sitaan serta rampasan dadah RM2,428,727.

“Dadah ini dijual kepada pelanggan tetap mereka. Ada dadah dijual pada harga RM200 hingga RM300 sepeket dalam bentuk serbuk minuman yang biasanya dijual di kelab-kelab malam,” ujarnya.

Kumar berkata, ujian saringan air kencing mendapati pasangan itu positif dadah jenis ketamin dan benzodiapines manakala semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau dadah.

Pasangan berkenaan ditahan reman selama tujuh hari bermula 28 Disember lalu hingga 3 Januari ini untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau boleh disebat.

Pihaknya masih menyiasat dari mana bekalan dadah itu diperoleh termasuk sama ada masih ada lagi rakan atau anggota sindiket yang masih bebas.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast