KULAI – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan masuk dalam parit di Kilometer 49.5 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan di sini malam tadi.
Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 8.40 malam.
Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha 135LC ditunggang mangsa hilang kawalan dan terbabas lalu masuk ke parit di kiri jalan.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal tersebut yang berusia 28 tahun cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mayat pemuda berkenaan dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini bagi tujuan bedah siasat.
Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkuan Jalan 1987.
“Orang Ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Ruslan Mohamed 013-3063710 atau hadir ke Bahagian Siasatan Jenayah Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai,” ujarnya.- MalaysiaGazette















