PONTIAN – Peniaga gerai makan di Pekan Benut, di sini, tetap meneruskan aktiviti perniagaan walaupun air pasang besar melanda sejak semalam dan paras air semakin meningkat.
Peniaga gerai makan, Waini Mareng, 63, berkata, perkembangan itu tidak menghalang mereka untuk mencari rezeki sekali gus pada masa sama memenuhi keperluan penduduk.
Menurutnya, fenomena ais pasang besar yang berlaku pada penghujung tahun sudah bermula pada pukul 11 pagi semalam dan hari ini berlaku banjir kilat.
Dia yang menjalankan perniagaan gerai makan sejak 30 tahun lalu berkata, selagi keadaan masih terkawal, mereka tetap membuka gerai yang terletak depan Sungai Benut.
“Setiap hari jualan gerai makan bermula pukul 5.30 pagi sehingga pukul 1 tengah hari. Ketika air pasang besar gerai tetap dibuka dan pelanggan masih datang menjamu selera.
“Namun, ramai pelanggan yang masih tidak mengetahui tentang kejadian air pasang besar dan terkejut melihat kawasan di Pekan Benut dinaiki air.
“Mereka cepat-cepat alihkan kereta kerana takut paras air akan naik,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Peniaga kuih muih, Latipah Mundak, 52, mengakui tidak pilihan selain meneruskan perniagaan ketika air pasang besar kerana pembekal sudah menghantar produk di gerai.
“Agak terjejas juga jualan kerana pembeli tidak datang disebabkan mereka tidak mahu meredah air yang melimpah akibat air pasang besar di kawasan Pekan Benut.
“Namun setakat ini tiada kejadian buruk yang berlaku. Tetapi kami tetap bimbang sekiranya hujan turun kerana keadaan akan menjadi lebih teruk,” katanya.
Peniaga kedai runcit, Bunga Bedu, 50, pula mengambil tindakan menutup kedainya memandangkan tiada pelanggan ketika fenomena air pasang berlaku.
“Kawasan depan kedai akan dipenuhi air. Setakat ini, air tidak melimpah ke dalam kedai, jadi barang-barang elok sahaja tidak rosak.
“Cuma ramai yang tidak mahu meredah air ke kedai ketika air pasang. Air pasang ini berlaku sesekali sahaja dan peniaga di Pekan Benut sudah maklum dan bersedia lebih awal,” katanya.
Selain Pekan Benut, kawasan seperti di Tanjung Piai dan Kukup turut dilanda fenomana air pasang dengan ketinggian ombak 3.4 meter berbanding 1.5 hingga 2.5 meter pada hari biasa.
Bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah ini bagi menempatkan penduduk yang terjejas dengan fenomena itu. – MalaysiaGazette















