Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bercakap pada Sidang media berkenaan pengoperasian SPM di Blok E8, Kompleks E, KPM, Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 2 JANUARI 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan menyelaraskan semula pendidikan anak-anak yang diselamatkan daripada rumah amal yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penyelarasan dibuat berdasarkan kesesuaian dan umur anak-anak berkenaan.

Menurut beliau, kini terdapat sebahagian daripada mereka sudah pulang ke pangkuan keluarga masing-masing, manakala ada yang terus kekal di rumah di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ada sebahagiannya telah pun pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dan di peringkat KPM kita sedang selaraskan semula (pendidikan) kerana ada yang masih di bawah jagaan JKM.

“Kita akan selaras semula pendidikan mereka melihat kepada umur mereka dan kesesuaian untuk mengikuti pendidikan arus perdana di sekolah-sekolah di bawah KPM,” katanya pada sidang media pengoperasian SPM 2024.

Sebelum ini, ratusan kanak-kanak yang terdiri daripada anak-anak pengikut GISBH diselamatkan polis melalui Ops Global yang dilaksanakan di beberapa negeri.

Aspek pendidikan kanak-kanak yang diselamatkan itu agak sukar berikutan silibus pelajaran mereka tidak seiring dengan pendidikan negara.

KPM turut merangka pelan jangka masa panjang bagi anak-anak itu bersama kementerian berkaitan selepas status mereka dimuktamadkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast