KUALA LUMPUR- Polis menahan lima individu kerana dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang dibenarkan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki tempatan dan seorang wanita disyaki warga Vietnam.
“Operasi yang dijalankan di sekitar Johor Bahru bermula dari jam 1 hingga 5 pagi.
“Pemeriksaan dilakukan berfokuskan kepada pemandu kenderaan yang disyaki di bawah pengaruh alkohol yang membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain,” jelasnya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman denda antara Rm10,000 hingga 30,000 dan penjara wajib satu hari hingga dua tahun dan lesen memandu digantung selama dua tahun,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut menyeru dan menasihatkan semua pengguna jalan raya untuk mengelakkan diri daripada memandu selepas mengambil minuman beralkohol.- MalaysiaGazette















