JOHOR BAHRU – Seorang warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sendiri di Kilometer 18, Jalan Johor Bahru-Gelang Patah di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, seorang wanita warga tempatan berusia 38 tahun iaitu anak mangsa membuat laporan polis pukul 3 petang.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang lelaki berusia 67 tahun itu dalam perjalanan dari arah Mutiara Rini menuju ke Skudai.
‘Setibanya ke lokasi, motosikal ditunggang warga emas terbabit hilang kawalan lalu terbabas di lokasi.
“Akibat kemalangan tesebut, warga emas terbabit mengalami kecederaan di bahagian dalaman dan dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini bagi menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan.
Bagaimanapun, warga emas itu disahkan meninggal dunia sekitar pukul 5.30 petang ketika menerima rawatan di HSA.
Kes itu disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu dan berbahaya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes tersebut diminta menghubungi dan menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat iaitu Inspektor Zulhisyam Aziz di talian 019-743 2966.- MalaysiaGazette















