KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Fad’l Mohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharunya berkuat kuasa 1 Mac ini.
Beliau akan menggantikan Datuk Muhamad Umar Swift yang akan meninggalkan operator pasaran saham tempatan itu pada tarikh yang sama.
Menurut Bursa Malaysia dalam kenyataan, keputusan berkenaan dibuat oleh Lembaga Pengarah Bursa Malaysia selaras dengan pelan peralihan kepemimpinan Bursa serta persaraan Muhamad Umar yang telah memegang jawatan CEO Bursa Malaysia sejak Februari 2019.
“Suruhanjaya Sekuriti Malaysia turut memberikan persetujuan terhadap pelantikan CEO baharu ini mengikut Seksyen 10 Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007,” katanya
“Kefahaman Fad’l mengenai pasaran modal dan perbankan pelaburan memberikannya asas yang kukuh untuk memimpin Bursa ke masa depan. Kami yakin kepakarannya akan mendorong pertumbuhan dan kejayaan berterusan untuk Bursa serta pasaran,” katanya.
Fad’l, 57, membawa pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang perundangan, pasaran modal dan perbankan pelaburan.
Beliau kini merupakan Pengarah Urusan, Perbankan Borong Kumpulan di RHB Bank Bhd dan pernah memegang jawatan CEO di Maybank Investment Bank.
Kerjaya beliau bermula sebagai peguam di firma guaman Messrs Rashid & Lee pada tahun 1991 sebelum menyertai Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada tahun 1993.
Selepas itu, beliau berpindah ke Dresdner Kleinwort Benson, sebuah firma perbankan pelaburan.
Pada tahun 2004, beliau mengasaskan Maestro Capital Sdn Bhd, sebuah penasihat kewangan korporat berlesen yang menawarkan nasihat mengenai penggabungan dan pengambilalihan, pengumpulan modal dan penyenaraian IPO, sehingga tahun 2015 apabila beliau menyertai Maybank Investment Bank.
Fad’l memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada Imperial College London, UK dan Ijazah Sarjana Muda Undang-undang (Kepujian) daripada University of London.
Selain itu, beliau memegang Diploma Bertauliah dalam Perakaunan & Kewangan daripada The Chartered Association of Certified Accountants dan merupakan Felo Chartered Banker dengan Institut Chartered Bankers Asia.
Beliau juga merupakan Pakar Bertauliah dalam Kewangan Mampan yang dianugerahkan oleh Frankfurt School of Finance & Management.
Abdul Wahid turut mengiktiraf peranan penting Muhamad Umar kepada pasaran modal, dengan menambah; “Bagi pihak lembaga pengarah, kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Muhamad Umar atas sumbangan cemerlang dan kepimpinannya yang ditandai dengan inovasi, integriti serta komitmen mendalam dan pendekatan kolaboratif dalam memenuhi keperluan pelbagai pihak berkepentingan kami dan negara.
“Beliau akan dikenang atas banyak sumbangan dan pencapaian penting sepanjang tempoh perkhidmatannya termasuk menetapkan visi dan pelan hala tuju untuk menjadikan Bursa Malaysia sebagai bursa pelbagai aset memastikan pasaran terus beroperasi sepenuhnya semasa pandemik Covid-19 serta memacu Bursa ke era baharu kelestarian, tumpuan pelanggan dan pendigitalan,” katanya. – MalaysiaGazette