WASHINGTON- Google Maps akan menukar nama “Teluk Mexico” kepada “Teluk Amerika” setelah ia secara rasmi dikemas kini dalam Sistem Nama Geografi Amerika Syarikat.
Google dalam satu hantaran di platform X pada Isnin berkata, perubahan itu boleh dilihat oleh pengguna di Amerika Syarikat namun bagi pengguna di Mexico, ia kekal pada nama Teluk Mexico.
Tambahnya, pengguna luar Mexico akan melihat kedua-dua nama berkenaan di Google Maps.
Langkah itu susulan pengumuman Jabatan Dalam Negeri AS yang memaklumkan, nama Teluk Mexico kini secara rasmi ditukar kepada Teluk Amerika.
Selain itu, pentadbiran Trump juga menukar puncak Alaskan Denali, gunung tertinggi di Amerika Utara kepada Gunung McKinley.
Menurut Google Maps ia akan membuat perubahan serupa untuk Gunung McKinley.
Presiden Donald Trump mengarahkan penukaran nama ini sebagai sebahagian daripada siri tindakan eksekutif beberapa jam selepas memegang jawatan pada 20 Januari, memenuhi janji kempen beliau.
“Seperti yang diarahkan oleh Presiden, Teluk Mexico kini secara rasmi akan dikenali sebagai Teluk Amerika, dan puncak tertinggi di Amerika Utara sekali lagi akan membawa nama Gunung McKinley,” kata Jabatan Dalam Negeri dalam satu kenyataan minggu lalu.
Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, awal bulan ini secara berseloroh mencadangkan supaya Amerika Utara, termasuk Amerika Syarikat, dinamakan semula sebagai “Amerika Mexico” – sebuah nama sejarah yang pernah digunakan pada peta awal rantau tersebut.- AGENSI
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast