KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan fokus utama beliau ketika ini adalah untuk menyatukan serta mengukuhkan semula perpaduan dalam parti dan menjadikan parti kaum Melayu itu kembali dominan.
Jelas beliau, UMNO kini semakin kecil disebabkan perpecahan dalaman sehingga menyebabkan ia hanya mampu memenangi 26 kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), November 2022.
Katanya, apa yang penting setiap ahli serta pemimpin perlu terus taat setia kepada UMNO dan melihat kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi.
“Mana UMNO tidak mengecil kalau dalamannya berpecah? Matlamat saya kini adalah untuk menyatukan UMNO. Mereka yang sudah tinggalkan parti itu, silalah tinggalkan terus, yang keluar sekejap, keluarlah selama-lamanya..tak mengapa.
“Mana-mana yang ada itu, perlu terus taat setia kepada parti.
“Ini bila SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) panggil sembilan kali, dah takut. Ceritalah perkara sebenar, pergilah mahkamah seperti saya.
“(Ada) 87 pertuduhan yang jelas ia sengaja dibuat-dibuat tetapi saya pertahankan diri di mahkamah. 40 kes di Mahkamah Shah Alam dibebas dan dilepaskan manakala di 47 kes di mahkamah Kuala Lumpur, saya jalani (perbicaraan) selama tiga tahun setengah. Saya tetap kekal di dalam UMNO tanpa kekhuatiran,” katanya ketika hadir dalam podcast terbitan TV3 hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menambah, beliau rela ahli UMNO tidak begitu banyak seperti sebelumnya namun kesemua yang masih tinggal adalah setia kepada parti.
Katanya, beliau mempunyai beberapa kaedah untuk memulihkan semula UMNO serta menjadikan parti itu dominan semula namun enggan berkongsi kepada umum buat masa sekarang.
“Kita tidak mahu seperti buih di lautan. Dalam keadaan seperti ini, saya akan melakukan proses membuat keputusan dengan sebaik-baiknya. Saya bukan diktator, kita boleh berbincang dan penting untuk UMNO menyusun strategi supaya kita dominan,” kata sambil menafikan beliau adalah tonggak utama yang mencatur strategi dalam UMNO dan kerajaan Perpaduan.
Sebaliknya beliau menjelaskan, semua keputusan sama ada di peringkat parti mahupun Kabinet, dimuktamadkan secara konsensus dan sentiasa menyantuni perbezaan pendapat. -MalaysiaGazette