Mohd Hafez Sabri

KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas kecewa dan bantahan terhadap tindakan tidak seimbang dalam menangani isu berkaitan sensitiviti agama khususnya kes melibatkan sindiran pelawak Harith Iskander terhadap isu halal serta komen biadab Cecelia Yap yang menghina nama suci ‘Muhammad’.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Hafez Sabri berkata, ketika hukuman ‘pantas’ ke atas ugutan yang diterima Harith, pihaknya memandang serius bagaimana tindakan terhadap hantaran media sosial yang menghina Islam oleh pelawak itu dan komen Cecelia Yap yang dianggapnya tidak mendapat respon setimpal.

Menurut beliau, ia jelas menunjukkan sikap ketidakseimbangan dalam penguatkuasaan undang-undang yang seharusnya melindungi keharmonian antara agama di negara ini.

“Pemuda Pas ingin menegaskan bahawa isu halal bukan sekadar perkara biasa tetapi ia adalah sebahagian daripada tuntutan agama Islam yang mesti dihormati oleh semua pihak.

“Dalam masa yang sama, penghinaan terhadap nama ‘Muhammad’ – nama junjungan besar Nabi SAW kita adalah satu perkara yang tidak boleh dipandang ringan dan perlu dikenakan tindakan tegas.

“Kami menyeru pihak berkuasa untuk berlaku adil dan konsisten dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang mencetuskan ketegangan agama. Tiada siapa harus terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya mereka menghina atau mempermainkan sensitiviti agama mana-mana pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Hafez yang Ahlu Dewan Undangan Negeri Manjoi berkata, Pemuda Pas juga menasihatkan agar masyarakat berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan dan menghormati prinsip Rukun Negara yang menekankan kesopanan dan kesusilaan.

“Sikap berdiam diri terhadap penghinaan terhadap Islam hanya akan membuka ruang kepada lebih banyak provokasi di masa hadapan.

“Justeru, Pemuda Pas menggesa pihak berkuasa untuk segera mengambil tindakan tegas terhadap Cecelia Yap dan mana-mana individu yang menghina Islam, bagi memastikan keadilan dan keharmonian negara terus terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast