KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2025 hari ini dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti komuniti termasuk program KL Car-Free Morning (KLCFM) yang turut disertai dengan kempen kebersihan seperti Bersihkan Wilayah Persekutuan dan Sifar Sisa Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, berkata inisiatif itu bukan sekadar menggalakkan gaya hidup sihat tetapi juga menanam kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan bandar.
“Program ini dimulakan seawal subuh dengan sesi Qiamullail di Masjid Jamek bersama masyarakat sebelum diteruskan dengan aktiviti larian, berjalan kaki dan berbasikal.
“Kita juga menggalakkan peserta mengambil peluang untuk membersihkan bandar Kuala Lumpur sepanjang aktiviti ini.
“Ini sebahagian daripada usaha kita untuk memastikan ibu kota bersih menjelang sambutan ASEAN akan datang,” katanya ketika ditemui media selepas melancarkan program itu di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Menurut Dr Zaliha, program kebersihan merupakan kesinambungan daripada inisiatif BEST (Bersih Setiap Tempat) yang dilancarkan minggu lalu.
“Kami akan terus memperhebatkan lagi usaha bagi memastikan Kuala Lumpur mencapai visi Chase City iaitu bandar bersih (Clean City) dan bandar sihat (Healthy City).
“Wilayah Persekutuan kita bukan sekadar untuk aktiviti sosial dan kemasyarakatan, tetapi juga membawa tujuan lebih besar iaitu menjadikan ibu kota lebih bersih dan sihat untuk semua,” tambahnya.
Sambutan orang ramai terhadap program kebersihan ini amat menggalakkan, dengan lebih 3,000 peserta. – MalaysiaGazette















