SEOUL- Pengerusi Eksekutif Samsung Electronics, Lee Jae-yong hari ini, sekali lagi dibebaskan daripada pelbagai tuduhan yang berkaitan penggabungan syarikat itu pada 2015.
Urusniaga kontroversi itu didakwa oleh pendakwa raya sebagai usaha untuk mengukuhkan kuasa beliau ke atas gergasi teknologi Korea Selatan itu.
Lee pada asalnya telah dibebaskan daripada tuduhan tersebut dalam perbicaraan tahun lalu tetapi pihak pendakwa raya mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.
“Bukti yang dikemukakan tidak mencukupi untuk membuktikan tuduhan melampaui keraguan yang munasabah,” menurut dokumen mahkamah yang dilihat oleh AFP.
Lee dibebaskan daripada tuduhan termasuk manipulasi harga saham, pecah amanah dan penipuan perakaunan.
Tuduhan-tuduhan tersebut berkaitan dengan penggabungan pada tahun 2015 antara Samsung C&T – sebuah syarikat pembinaan dan kejuruteraan – dan Cheil Industries.
Beliau enggan menjawab sebarang soalan ketika meninggalkan mahkamah di Seoul namun peguamnya memberitahu wartawan bahawa mereka “dengan ikhlas berterima kasih kepada mahkamah atas keputusannya yang bijaksana.”
“Ia telah menjadi satu tempoh yang sangat lama sejak penyiasatan dan proses perbicaraan kes ini bermula.
“Kami berharap dengan keputusan ini, para defendan kini boleh kembali kepada tugas dan tanggungjawab mereka yang sewajarnya,” kata pasukan guamannya.
Lee sebelum ini dipenjarakan selama 18 bulan dalam kes penipuan dan pecah amanah berasingan susulan siasatan besar-besaran yang turut menyebabkan kejatuhan bekas presiden Park Geun-hye pada 2017.
Beliau bagaimanapun dibebaskan secara parol pada Ogos 2021 selepas menjalani separuh daripada hukumannya.
Cucu kepada pengasas Samsung itu kembali menyertai pengurusan Samsung Electronics- syarikat utama konglomerat ternama Korea Selatan dan dinamakan secara rasmi sebagai Pengerusi Eksekutif pada Oktober 2022 iaitu dua selepas Presiden republik berkenaan memberikan pengampunan atas semua sabitan kesalahannya.- AFP
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast