BANGKOK – Beberapa penerbangan terpaksa dilencongkan dari Lapangan Terbang Don Mueang di Bangkok ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Samut Prakan kerana jarak penglihatan yang lemah akibat jerebu melanda pagi ini.
Lapangan Terbang Antarabangsa Don Mueang melaporkan jarak penglihatan di atas kemudahan itu merosot kepada 150 meter pada 7 pagi.
Antara penerbangan yang diubah hala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi ialah Penerbangan XJ901 AirAsia X dari Harbin, China.
Laman web Kualiti Udara Bangkok, yang dikendalikan oleh Pentadbiran Metropolitan Bangkok, melaporkan pagi tadi beberapa kawasan di Bangkok telah mencapai tahap PM2.5 yang diklasifikasikan sebagai berbahaya kepada kesihatan, dengan purata kepekatan 56.1 mikrogram (mcg) setiap meter padu udara.
Beberapa penerbangan yang memilih untuk mendarat di Don Mueang terpaksa berpusing di atas lapangan terbang untuk menunggu jarak penglihatan bertambah baik sebelum mereka boleh mendarat.
Ini termasuk Penerbangan AirAsia FD3417 dari Chiang Mai dan Penerbangan Lion Air SL213 dari Ahmedabad, India.
Pada jam 11 pagi tadi, paras PM2.5 di Lapangan Terbang Don Mueang diukur pada 64.7mcg per meter padu udara. – Agensi