MELAKA – Kecemerlangan berterusan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) telah berjaya merangkul kejayaan berganda menerusi eUsahawan Best IHL Institution 2024 peringkat nasional daripada Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) baru-baru ini.
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM telah mencapai dua kejayaan besar yang mana kejayaan pertama adalah UTeM dinobatkan sebagai naib johan keseluruhan eUsahawan Best IHL Institution 2024.
“Justeru kejayaan ini meletakkan UTeM sebagai satu-satunya universiti dalam kalangan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) yang yang menerima anugerah dan mendapat pengiktirafan ‘eUsahawan Best IHL Institution 2024’ di peringkat nasional oleh MDEC.
“Pengiktirafan ini bagi menghargai usaha dan komitmen berterusan UTeM dalam menjalankan program-program keusahawanan serta melahirkan usahawan digital yang inovatif dan berdaya saing,” katanya dalam kenyataan.
Manakala kejayaan kedua pula memberikan impak besar dalam pembangunan keusahawanan dalam kalangan pelajar apabila pelajar UTeM, Najmi Husaini Koteng (Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektrik) yang dibimbing oleh Prof. Datuk Dr. Izaidin Abdul Majid (Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknousahawanan) pula dinobatkan sebagai penerima anugerah ‘High Achiever eUsahawan Siswa 2024’.
“Pengiktirafan ini menceminkan semangat keusahawanan luar biasa yang dipamerkan oleh pelajar UTeM dalam dunia teknologi digital.
“UTeM sentiasa komited dan mendukung agenda keusahawanan digital termasuklah jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak seperti MDEC serta industri lain bagi memastikan penyediaan bakat terbaik negara dapat direalisasikan seiringan amanat Menteri Pendidikan Tinggi dalam 7 Fokus Utama Tahun 2025 Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), baru-baru ini,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UTeM, Prof Madya Datuk Dr Sabri Mohamad Sharif menyatakan UTeM juga aktif dalam menganjurkan program-program latihan keusahawanan bukan sahaja buat pelajar UTeM malah turut mengadakan aktiviti keusahawanan bersama komuniti setempat dan juga para usahawan khususnya di sekitar Melaka.
“Hubungan erat UTeM dengan MDEC telah memberikan manfaat kepada seluruh warga UTeM khususnya para pelajar dan warga UTeM yang lain termasuklah latihan ‘reskilling dan upskilling’ kepada staf akademik yang mengajar dalam keusahawanan digital,” katanya.
Pada masa yang sama, Pengarah Pusat Pembangunan Perusahaan dan Teknousahawanan (CREATE) UTeM, Dr. Isma Addi Jumbri berkata, CREATE merakamkan penghargaan kepada MDEC atas anugerah dan pengiktirafan ini.
“Kejayaan ini juga adalah hasil daripada komitmen bersama seluruh warga UTeM khususnya para pelajar yang sentiasa berminat dan komited menjayakan bersama program-program anjuran CREATE dan MDEC selama ini,” ujarnya.
Kejayaan ini melayakkan UTeM menerima dua piala dan dua sijil kemenangan yang telah disampaikan oleh Pengarah Bakat Digital dan Keusahawanan MDEC, Ts. Nik Naharudin Mohd Nasir di Malam Apresiasi MDEC 2025.
Datuk Sabri mewakili Naib Canselor UTeM menerima anugerah dan pengiktirafan sebagai ‘eUsahawan Best IHL Institution 2024’ ini dalam majlis tersebut bersama dengan Pengarah CREATE Dr Isma Addi.- MalaysiaGazette