KUALA LUMPUR – Pakar pendidikan, Dr. Anuar Ahmad menyifatkan situasi murid dan pelajar sekolah yang terlibat dengan pengambilan vape hari ini adalah lebih buruk berbanding data yang diperolehi menerusi Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) oleh Kementerian Pendidikan (KPM).
Beliau yang juga Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, data yang lebih baik bagi merujuk kepada permasalahan vape dalam kalangan pelajar sekolah adalah data rasmi daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
Menurutnya, kajian oleh pasukan penyelidik Institute for Public Health, National Institutes of Health, KKM menunjukkan kadar remaja yang berusia antara 14 hingga 17 tahun yang terlibat dengan vape sebenarnya jauh lebih tinggi.
Sebagai contoh, kata beliau, pada 2017 iaitu kira-kira tujuh tahun lalu, kadar remaja terlibat dengan vape yang direkodkan secara rasmi oleh KKM ialah sebanyak 9.8 peratus.
Bagaimanapun, ujarnya, pada tahun 2022, data KKM menunjukkan kadar itu telah meningkat kepada 14.9 peratus iaitu kenaikan hampir 15 peratus.
“Bayangkan hanya untuk tempoh lima tahun sahaja (2017-2022), kadar peningkatan remaja yang terlibat dengan vape mencecah hampir 50 peratus.
“Bagaimana dengan tahun 2025 dan tahun-tahun seterusnya?” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebooknya malam tadi.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan yang mana isu penggunaan vape dalam kalangan murid dan pelajar sekolah adalah sesuatu yang sangat serius.
Tegas beliau, sekiranya tiada usaha yang berkesan termasuk langkah mengharamkan vape, generasi muda negara akan berhadapan dengan pelbagai masalah kesihatan akibat tabiat vape dalam jangka masa panjang.
“Sebab itu angka 0.38 peratus yang diperoleh dari SSDM KPM pada saya tidak menggambarkan isu sebenar masalah vape di kalangan remaja,” katanya.
Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh pada sidang Dewan Rakyat mendedahkan peningkatan dalam trend penggunaan rokok elektronik atau vape membabitkan murid sekolah dengan 20,000 golongan itu terjebak kegiatan terbabit tahun lalu.
Menurut Kah Woh, angka itu yang mewakili kira-kira 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan murid di bawah KPM diperoleh berdasarkan statistik yang direkodkan dalam SSDM. – MalaysiaGazette