Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bakal bekerjasama rapat dengan beberapa kementerian lain dalam melaksanakan kerangka dasar Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Antaranya kementerian terlibat ialah Kementerian Ekonomi, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Digital, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Kementerian Pendidikan Tinggi.

Semalam, mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) pertama tahun ini yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar meluluskan pelaksanaan kerangka khusus Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) bagi menyasarkan pembangunan 110 syarikat tempatan di dalam aktiviti bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu, pembungkusan maju, dan peralatan pembuatan termaju.

Ini merangkumi 10 syarikat tempatan berkaitan semikonduktor dengan hasil dianggarkan antara RM1 bilion hingga RM4.7 bilion, serta menyokong penubuhan 100 syarikat lain, masing-masing dijangka menjana hasil tahunan sekitar RM1 bilion.

NSS yang telah diluncurkan pada 28 Mei 2024, bertujuan memperkukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global sebagai langkah strategik untuk meningkatkan nilai tambah kepada sumbangan sektor pembuatan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, serta penambahan bakat mahir dan peningkatan gaji median dalam sektor pembuatan, seperti yang disasarkan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP2030).

Inisiatif ini menggariskan suatu perubahan strategik daripada pendekatan Made in Malaysia yang berasaskan pembuatan, kepada pendekatan Made by Malaysia yang berasaskan teknologi; meluaskan fokus melangkaui pembuatan kepada pembangunan industri penyelidikan dan pembangunan (R&D) Malaysia; dan kedaulatan teknologi.

Kesemua ini adalah selaras dengan visi Ekonomi Madani untuk meningkatkan kebolehan industri tempatan meneroka pasaran global dengan meningkatkan kapasiti pengeluaran barangan E&E bernilai tinggi yang juga bakal membina kemahiran bakat serta pendapatan tenaga kerja Malaysia.

Bagi memastikan pelaksanaan yang tuntas dengan keberhasilan nyata, dasar ini akan dilaksanakan dengan pendekatan seluruh-kerajaan.

Selain itu, MPN turut meluluskan diplomasi semikonduktor sebagai salah satu tonggak strategik NSS. Strategi ini bertujuan memperkukuh kerjasama sinergistik dengan rakan kongsi antarabangsa dan negara-negara ASEAN ke arah memastikan rantaian bekalan yang mampan dan berdaya tahan bagi pemain semikonduktor domestik dan global.

Dalam hal ini MITI dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri akan memupuk kerjasama yang lebih erat dalam aspek diplomasi semikonduktor, serta inisiatif-inisiatif strategik lain yang berkaitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast