Omar dikenakan hukuman denda RM6,000 selepas mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi hari ini.

KOTA TINGGI – Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap seorang warga emas atas dua pertuduhan memiliki senapang patah dan memiliki lebih 100 butir peluru tanpa permit.

Omar Busari, 65, yang juga seorang duda membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut pertuduhan pertama, pada 21 Februari 2025 kira-kira pukul 12 tengah hari di nombor 42, ladang Pasir Panjang, didapati dalam miliknya selaras senapang patah buatan sendiri tanpa suatu lesen senjata atau permit senjata.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada tarikh waktu dan tempat yang sama didapati dalam milikan 108 butir peluru jenis bucshot (12 bore) tanpa suatu lesen senjata atau permit senjata.

Justeru bagi kedua-dua pertuduhan itu dia didakwa di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nor Ayu Hidayah M Safri manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Afiqah Hambali.

Nur Afiqah dalam rayuannya memohon mahkamah menetapkan denda paling minimum berikutan ia adalah kesalahan pertama tertuduh selain tertuduh adalah seorang warga emas yang tidak bekerja.

Katanya, tertuduh juga mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi serta kesalahan dilakukan tertuduh tidak melibatkan sebarang kecederaan.

Hayda Faridzal kemudian menetapkan denda RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan jika gagal bayar penjara selama 12 bulan.

Media sebelum ini melaporkan lelaki berkenaan ditahan bersama senjata api disyaki digunakan untuk memburu binatang secara haram di sekitar daerah dalam satu operasi di ladang Pasir Panjang, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, bertindak atas maklumat pada pukul 12 tengah hari sepasukan anggota polis daripada bahagian risikan dan operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman telah melakukan pemeriksaan di sebuah premis di ladang berkenaan dan menahan dua suspek.

Menurutnya, pihak polis telah berjaya menahan dua lelaki berumur 65 dan 39 tahun dan merampas beberapa senjata api serta komponen berkaitan.

Yusof berkata, suspek pertama berusia 65 tahun mengakui memiliki senapang patah yang digunakan untuk memburu haiwan secara haram dan didapati tidak memiliki lesen senjata yang sah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast