KUALA KANGSAR- Produk yang mendapat pengesahan halal oleh tiga badan pensijilan halal luar negara yang pengktirafan halal mereka telah ditarik oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), tidak dibenarkan dibawa masuk ke negara ini bermula dari tarikh penarikan itu.
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata larangan itu berkuat kuasa hingga ketiga-tiga badan pensijilan itu membuat penambahbaikan dan pembetulan terhadap kesilapan mereka seperti dikehendaki JAKIM.
“Produk yang telah memasuki Malaysia lebih awal adalah tidak dikhuatiri (status halalnya) tetapi jika ada keperluan, kita akan menarik keluar daripada pasaran. Kita juga akan minta kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk ditarik keluar.
“Badan ini diberikan tempoh untuk membuat penambahbaikkan dan pembetulan terhadap kesilapan yang berlaku untuk kita nilai semula dari segi pengiktirafan tersebut,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Kampung Angkat MADANI JAKIM di Kampung Menora di Sekolah Kebangsaan Menora di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan JAKIM mengemas kini senarai Badan Pensijilan Halal Luar Negara yang diiktiraf dengan menarik balik pengiktirafan terhadap tiga badan sedia ada serta mengumumkan perubahan pada logo halal bagi dua negara melibatkan Sri Lanka dan Arab Saudi.
Tiga badan pensijilan yang ditarik balik pengiktirafannya ialah China Islamic Association (CIA) dari China, Centre For Halal Quality Certification (CHQC) dari Croatia dan Ritual Association of Lyon’s Great Mosque (ARGML) dari Perancis.
— BERNAMA