KUALA LUMPUR – Umat Islam diingatkan tidak memandang sinis sama ada di dalam jiwa atau perkataan apabila melihat ramai yang hadir ke masjid pada awal Ramadan.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, kehadiran ramai jemaah ke masjid pada awal Ramadan itu merupakan tanda mereka memuliakan Ramadan.
Jelasnya, mereka juga beriman sepanjang bulan Ramadan itu, ada janji besar yang Allah SWT berikan.
Berkenaan kelemahan sebahagian umat Islam untuk terus istiqamah sepanjang Ramadan, tambah beliau, ia adalah kecacatan yang berlaku selepas itu, bukannya pada sambutan awal yang meriah tersebut.
“Jangan sama sekali kita kata `itu semangat masa awal sahaja’ atau `Ramadan baru nak nampak muka di masjid’.
“Kemeriahan masjid pada awal Ramadan tanda umat ini mengagungkan syiar Allah SWT. Al-Quran menyatakan itu tanda jantung hati yang bertakwa,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook Dr Maza Channel hari ini.
Umat Islam di negara ini mula menunaikan solat sunat tarawih malam tadi dan berpuasa di bulan Ramadan bermula hari ini.
Sementara itu, Mohd Asri berkata, sekiranya umat Islam tidak mempedulikan kehadiran Ramadan yang mana masjid tetap sepert biasa dengan jemaah sedia ada, ia sudah pasti satu kebiadaban terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW.
Jelasnya, ia juga umpama segala tawaran dan kemuliaan yang dijanjikan sepanjang Ramadan tiada erti dan tidak menarik untuk disambut oleh umat Islam.
Sebaliknya, jelas beliau, apabila umat Islam berpusu-pusu ke masjid pada awal Ramadan, ia menunjukkan tanda hormat dan iman mereka terhadap janji Allah SWT dan Rasulullah SAW.
“Apa yang menjadi tanggungjawab dakwah kita adalah sama-sama mengajak diri kita dan umat beristiqamah sepanjang Ramadan.
“Jangan kita pertikaikan fenomena yang baik dan soleh ini. Tingkatkan kesungguhan untuk semua kita beristiqamah,” katanya. – MalaysiaGazette
















