KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, mengumumkan bakal mempertahankan jawatan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ketua Cabang Setiawangsa pada pemilihan parti itu yang dijadualkan 24 Mei ini.
Beliau yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengumumkan perkara itu pada Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Setiawangsa, semalam.
Sementara itu, menerusi kenyataan di laman sosial TikTok beliau malam tadi, Nik Nazmi berkata, pemilihan PKR tahun ini bakal menjadi perhatian bukan hanya dalam kalangan ahli parti, malah pihak di luar parti yang akan menilai kesatuan dan kekuatan PKR.
“Dalam meraikan kematangan demokrasi dalaman PKR, ahli-ahli parti ini juga perlu memastikan pertandingan jawatan dalam parti berlangsung dengan penuh adab, semangat setia kawan serta memberi fokus kepada agenda besar iaitu mengukuhkan PKR sebagai parti masa depan yang terus relevan dengan perjuangan rakyat,” katanya.
Sementara itu, tambah Nik Nazmi, PKR Cabang Setiawangsa turut mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kekal sebagai Presiden parti, manakala Datuk Seri Rafizi Ramli kekal sebagai Timbalan Presiden.
Katanya, beliau percaya PKR bukan hanya sekadar sebuah parti politik, tetapi satu gerakan yang memberi harapan dan membawa perubahan.
“Dengan pengalaman yang telah saya lalui, serta kepercayaan yang diberikan rakan seperjuangan, saya komited untuk terus memperkukuhkan parti, memperjuangkan dasar inklusif dan memastikan PKR kekal sebagai wadah perjuangan utama rakyat Malaysia,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut mengesahkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden PKR. – MalaysiaGazette