KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran mengingatkan untuk segera menunaikan janji menaikkan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP/ On-Call) bagi pegawai perubatan yang masih kekal RM9 sejam.
Menurut, sehingga kini janji tersebut hanya sekadar janji tanpa sebarang tindakan mahu pun pengumuman berhubung tarikh tepat tuntutan itu akan dilaksanakan.
“Pegawai perubatan bukan hamba atau mesin. Jika pegawai tinggi menerima puluhan ribu ringgit sebulan, mengapa doktor yang menyelamatkan nyawa hanya dibayar RM9 sejam?
“Ini penghinaan kepada tenaga kerja kesihatan negara,” katanya dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, Parlimen ke-15 di Dewan Negara hari ini.
Lingeswaran yang juga mantan Ketua Pengarah Hospital Sungai Bakap, Pulau Pinang turut membantah pelaksanaan waktu bekerja 45 jam seminggu bagi petugas kesihatan yang bekerja secara syif.
Malah beliau mencadangkan agar waktu rehat ditempatkan di akhir syif supaya petugas kesihatan boleh pulang lebih awal.
Selain itu, beliau juga menggesa kerajaan melaksanakan saringan kesihatan pra nikah percuma bagi pasangan bukan Islam susulan peningkatan kes HIV dalam kalangan homoseksual dan biseksual yang kini mencecah 64 peratus daripada keseluruhan kes baharu.
Berhubung program vaksinasi influenza percuma, beliau memberitahu, terdapat kelemahan dalam pengurusan program tersebut yang membolehkan individu tidak layak mengeksploitasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksin yang diberikan kepada golongan berisiko.
Dalam isu berkaitan masyarakat India pula, Lingeswaran mendesak bancian semula dilakukan kerana jumlah penduduk rasmi 1.98 juta tidak mencerminkan realiti sebenar.
“Thaipusam 2025 sendiri menyaksikan kehadiran lebih 1.5 juta di Pulau Pinang dan 1.8 juta di Batu Caves. Adakah semua ini ghaib dalam bancian?” soalnya.
Beliau juga menuntut Menteri Dalam Negeri (KDN) bertindak segera membawa pulang anak Indira Gandhi yang diculik sejak 2009 dan mengkritik kegagalan kerajaan menguatkuasakan keputusan mahkamah.
Pemimpin DAP itu juga menggesa tindakan tegas terhadap penyalahgunaan gelaran (Doktor PhD) yang semakin berleluasa dan meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mewajibkan pendaftaran pemegang PhD di pangkalan data rasmi bagi mengelakkan pemalsuan.
Lingeshwaran turut menuntut jawapan segera daripada Menteri Pendidikan (KPM) mengenai status pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sungai Bakap yang masih tidak menunjukkan perkembangan selepas janji dibuat semasa pilihan raya. -MalaysiaGazette