Sebuah kedai diperiksa oleh DBKL dalam Operasi Gasak di Wangsa Maju.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menggempur aktiviti perniagaan dan penjajaan tanpa lesen dan tidak memenuhi syarat lesen dalam Operasi Gasak di Bazaria Wangsa Maju.

Dalam operasi itu, sejumlah enam buah gerai dan penjaja tanpa lesen telah dikenakan tindakan kompaun, 12 tindakan sitaan penjaja warga asing, lima buah gerai ditutup serta-merta serta dua kes penundaan food truck yang dikendalikan warga asing.

Operasi tersebut turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur.

Anggota-anggota penguat kuasa DBKL memeriksa food truck di Wangsa Maju dalam Operasi Gasak.

Jabatan Imigresen Malaysia yang melakukan pemeriksaan terhadap individu warga asing menahan 35 individu termasuk seorang lelaki Myanmar, 19 lelaki Indonesia dan 15 Wanita Indonesia yang tidak memiliki dokumen sah atau menyalahgunakan permit kerja.

KPDN telah mengeluarkan tiga kompaun terhadap gerai yang disyaki melanggar peraturan perdagangan serta melibatkan isu hak cipta dan barangan tiruan dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Penjaja yang melanggar syarat lesen dikenakan tindakan penguatkuasaan menerusi peruntukan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.

DBKL berkata, Operasi Gasak ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan Kuala Lumpur kekal sebagai sebuah bandar raya yang bersih, teratur, selamat, dan kondusif untuk semua. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast