KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang wartawan Malaysiakini hanya berdasarkan laporan ejen pekerja asing yang didedahkan dalam laporan petugas media itu didakwa agak janggal dari aspek motif, ketepatan undang-undang dan keutamaannya.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa, adalah lebih tepat dan sesuai tugas sekiranya SPRM mendahulukan siasatan ke atas laporan media berhubung kegiatan meragukan melibatkan ejen pekerja asing dan kakitangan Jabatan Imigresen di pintu masuk negara, berbanding menahan wartawan yang melaporkan dakwaan rasuah.
Ia kerana, kegiatan tersebut, sekiranya benar, lebih berpotensi menimbulkan masalah
lebih serius dan berbahaya bagi keselamatan dan ekonomi negara berbanding dakwaan peras ugut jenayah yang dikatakan melibatkan seorang wartawan portal Malaysiakini, juga penulis artikel bertajuk “Pegawai imigresen KLIA kantoi selit 12 pasport di pinggang” dan “Bongkar: ‘Datuk’ dalang kartel Pakistan di KLIA?” masing-masing pada 19 dan 22
Februari lalu.
Artikel berkaitan: MCW gesa siasatan adil terhadap wartawan Malaysiakini
Wartawan disyaki terima rasuah: SPRM minta diberi ruang siasatan telus
SPRM Reman Wartawan : NUJM Tuntut Siasatan Adil #MGflash
Wartawan ditahan SPRM kena reman 3 hari, bantu siasatan rasuah RM20,000
“Umum mengetahui kes salah laku dan rasuah melibatkan pegawai imigresen dan ejen pekerja asing bukanlah perkara baharu malah sering kali dibangkitkan dalam masyarakat mahupun di Parlimen.
“Pada September tahun lepas sahaja, SPRM menahan 37 penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana disyaki bersekongkol dan menerima rasuah daripada sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu KLIA.
“Semasa operasi khas SPRM dijalankan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Kelantan pula, ia turut melibatkan rampasan wang tunai berjumlah lebih RM1 juta dan penyitaan barangan kemas termasuk jongkong dan dinar emas, jam tangan berjenama, kereta, motosikal dan telefon bimbit pelbagai jenama,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Takiyuddin melahirkan rasa hairan dengan tindakan SPRM mengambil inisiatif khusus hanya berdasarkan laporan ejen yang jelas merupakan pihak berkepentingan langsung untuk memerangkap seorang wartawan kerana laporannya mengenai kegiatan yang disifatkan bukan lagi rahsia itu.
“Sekiranya dakwaan peras ugut jenayah oleh wartawan terbabit benar, bukankah perkara itu sepatutnya dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan bawah Kanun Keseksaan, bukannya diambil tindakan bawah Akta SPRM?
“Sekiranya laporan media tersebut pula salah atau dianggap memfitnah, bukankah pihak terkesan turut dilindungi oleh undang-undang sama ada melalui tindakan sivil atau jenayah, bukannya dengan membuat laporan kepada SPRM?” katanya.
Jelas beliau, kejanggalan tindakan SPRM itu boleh menimbulkan persepsi negatif sama ada dari aspek profesionalisme mahupun dari sudut ketelusan tindakan agensi itu sendiri.
Tambah beliau, ia juga boleh dianggap bertujuan menutup mulut wartawan dan media terbabit, sekali gus memenuhi motif dan kepentingan pihak berkepentingan langsung yang didedahkan sebelum ini.
“Tindakan itu juga boleh dilihat sebagai langkah yang berlawanan dengan peranan wartawan dan media sebagai institusi teras demokrasi, prinsip kebebasan bersuara serta semak dar imbang awam.
“Apa-apa tindakan yang boleh dilihat bertujuan mengganggu, menyekat atau menakut-nakutkan media serta wartawan hendaklah dielakkan sama sekali, terutamanya oleh agensi kerajaan,” katanya.
SPRM sebelum ini mengesahkan menahan seorang wartawan sebuah portal tempatan bagi membantu siasatan kes rasuah di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 11 malam kelmarin.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, penahanan itu dibuat berhubung dakwaan kes rasuah, bukannya mengenai laporan berita pendedahan isu pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Dipercayai wartawan berkenaan meminta sejumlah wang daripada seorang ejen pekerja asing warga Pakistan sejumlah RM20,000 untuk tidak mengeluarkan artikel berhubung isu penyeludupan Pati,” kata Azam seperti dipetik laporan media. – MalaysiaGazette