KUALA LUMPUR – Seramai 75,566 orang kurang upaya (OKU) telah mendapat pekerjaan sepanjang tempoh lima tahun sejak 2020 hasil pelbagai inisiatif dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, inisiatif itu bagi memastikan OKU mendapat latihan kemahiran dan akses kepada pekerjaan, termasuk memberikan pensijilan di bawah Sistem Pensijilan Kemahiran Malaysia.
Beliau memberitahu, KESUMA turut mengetuai Jawatankuasa Pekerjaan di bawah Majlis Kebangsaan bagi OKU (MKBOKU) seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Antara strategi membantu OKU mendapatkan akses kepada pekerjaan adalah menubuhkan Pusat Satelit MYFutureJobs khusus golongan OKU di Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Bangi serta Yayasan Warisan Anak Selangor, selain melaksanakan Karnival Pekerjaan secara bersasar, khas bagi golongan OKU.
Mengenai inisiatif pemerkasaan MKBOKU, Abdul Rahman berkata, ia dilakukan beberapa kementerian, termasuk Peguam Negara, Ketua Setiausaha KESUMA, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan, Ketua Pengarah Pendidikan dan Kesihatan serta Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan.
“Ini semua pihak yang dibabitkan supaya ia menjadi lebih kukuh bagi memastikan tiada golongan OKU tercicir.
“Kita sambut baik cadangan memperkasakan MKBOKU di bawah beberapa kementerian dan KESUMA terbabit dalam bidang mencari pekerjaan dan lain-lain di bawah kementerian dinyatakan,” katanya.
Terdahulu ketika menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah), Abdul Rahman berkata, kerajaan masih melaksanakan inisiatif pelepasan cukai kepada golongan OKU sama ada secara terus kepada individu terbabit, mahupun pasangan atau ibu bapa mereka.
Mengulas pelaksanaan inisiatif itu, katanya, ketika ini individu OKU diperuntukkan pelepasan cukai RM600 yang diberikan secara terus kepada mereka.
“Selain itu, pelepasan cukai bernilai RM7,000 diberikan untuk golongan OKU, diikuti pasangan OKU (RM6,000) dan ibu bapa memiliki anak OKU (RM8,000),” katanya. – MalaysiaGazette
















