Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan memperkenalkan peraturan baharu bagi pengoperasian sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) atau dron bagi meningkatkan keselamatan ruang udara.

Menurut CAAM, Peraturan Penerbangan Awam (CAR) yang baharu dijangka diumumkan pada suku keempat tahun ini bagi menggantikan CAR 2016.

Agensi itu juga akan memperkenalkan garis panduan yang lebih komprehensif untuk penggunaan dron secara komersial dan rekreasi.

“CAR baharu bagi operasi UAS akan menyediakan panduan dan tadbir urus yang lebih baik, selaras dengan amalan terbaik global sambil memupuk ekosistem UAS yang selamat, progresif dan mampan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

CAAM juga katanya, sedang menyemak dan menstruktur semula yuran serta caj berkaitan bagi mencerminkan perubahan dalam peraturan yang dikemas kini serta memastikan ia memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.

Tambahnya, peraturan baharu itu akan disusuli pelancaran Sistem Pengurusan Trafik UAS, sebuah platform digital yang akan mempermudahkan pendaftaran dron bagi pengendali.

Sistem yang dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2025 akan mendigitalkan proses pendaftaran, permohonan permit dan pemantauan ruang udara, sekali gus meningkatkan kecekapan serta mengurangkan masa pemprosesan.

Katanya, CAAM turut bekerjasama dengan beberapa organisasi pengawalseliaan lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Sirim, dan pihak polis bagi memastikan pelaksanaan peraturan ini berjalan lancar serta mencegah aktiviti dron haram.

“Langkah memperkukuhkan peraturan ini adalah penting untuk mengekalkan standard keselamatan tertinggi dalam operasi UAS serta mencegah aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti pengawasan haram, pelanggaran ruang udara, dan jenayah lain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Norazman Mahmud. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here