KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas Malaysia memberi amaran bahawa mereka akan meneruskan Himpunan Bantah Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dalam skala lebih besar sekiranya kerajaan gagal mendengar suara rakyat.
Timbalan Ketuanya, Mohd Hafez Sabri mempersoalkan cadangan kerajaan untuk menurunkan nilai ambang kelulusan kepada 80 peratus, 75 peratus dan 51 peratus kerana ia membuka ruang untuk penafian hak kepada golongan minoriti.
“Kami bukan anti pembangunan. Semasa di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN), kami telah merangka dasar pembangunan bandar yang adil dan menyeluruh menerusi Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) 2051.
“Walau bagaimanapun, RUU PSB ini masih tidak jelas dan bercanggah yang menimbulkan kebimbangan tentang kesan gentrifikasi dan risiko penduduk asal, khususnya bumiputera di kawasan bandar terpinggir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa bantahan ini bukan tindakan membuta tuli, tetapi respons terhadap pihak kerajaan yang angkuh dalam menolak kebimbangan rakyat.
“Jika tiada kuota atau syarat khas untuk pembeli unit baharu, ia boleh menarik pembeli dari golongan lebih berkemampuan, menyebabkan harga hartanah melambung dan bumiputera semakin tersisih dari bandar.
“Fenomena ini bukan sahaja akan memperbesar jurang ekonomi dan sosial, tetapi juga boleh memaksa ramai penduduk asal berpindah ke kawasan pinggir bandar kerana kos sara hidup yang semakin tinggi.
“Mereka yang kekal di unit gantian pula mungkin akan hidup dalam keadaan yang tidak selesa dan terpinggir, yang akhirnya boleh menjejaskan keharmonian serta keselamatan negara dalam jangka panjang,” tambahnya.
Oleh itu, pihaknya mendesak kerajaan agar membuka semula rundingan dan memberi penerangan lebih telus kepada semua pihak yang terlibat.
“Jika terus diabaikan, kami tidak teragak-agak lakukan bantah lebih besar, selaras dengan hak yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















