KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan selamat maju jaya buat barisan kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2025-2029.
Menerusi catatan ringkas di laman sosial Facebook beliau hari ini, Perdana Menteri berharap kepimpinan baharu FAM dapat membawa perubahan signifikan kepada sukan bola sepak negara.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM Penggal 2025-2029 yang diketuai Presidennya, Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub di pejabat Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Pertemuan itu turut diiringi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh serta Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang juga bekas Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
Sementara itu, FAM menerusi kenyataan di Facebook berkata, dalam pertemuan tersebut, Mohd Joehari berkongsi agenda terkini hala tuju bola sepak negara terutama bagi memperkasakan pembangunan peringkat remaja dan akar umbi.
Selain itu, katannya, turut dibincangkan adalah perkembangan terkini persiapan skuad Harimau Malaya menjelang aksi sulung Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Nepal pada 25 Mac ini.
Antara yang turut menyertai sesi pertemuan bersama Anwar itu ialah Timbalan Presiden FAM, Datuk S. Sivasundaram; tiga Naib Presiden FAM iaitu Datuk Seri Rosmadi Ismail, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan Datuk Dollah Salleh; Exco FAM, Datuk Zainal Abidin Hassan serta Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman. – MalaysiaGazette
















